Oleh Abu Ubaidillah Rahman
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berunding untuk melaksanakan penyewaan 100 ambulans untuk tempoh lebih panjang antara enam bulan hingga setahun bagi menampung kekurangan ambulans sedia ada.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Shafiq Abdullah berkata, terutamanya kekurangan di Lembah Klang selain sedang memuktamadkan perolehan menerusi tender terbuka sejumlah 490 buah ambulans.
“KKM juga mengubah suai kenderaan van termasuk melengkapkannya dengan peralatan perubatan minimum seperti silinder oksigen bagi membolehkan van itu digunakan untuk membawa pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.
“Langkah ini diharapkan dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan kadar kematian Brought in Dead (BID),” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong.
Shafiq berkata, KKM juga telah meluluskan RM39 juta untuk membeli ubat Baricitinib sebanyak 12,873 kotak.
“KKM juga akan memohon kepada Kementerian Kewangan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta lagi bagi perolehan ubat ini dan ubat-ubatan lain bagi perawatan Covid-19 seperti ubat Tocilizumab, suntikan Methylprednisolone dan Enoxaparin,” katanya.
Shafiq berkata, dalam memastikan bekalan oksigen mencukupi, KKM juga sedang menguruskan pembinaan empat buah ‘bulk tank’ oksigen di Hospital Selayang dan Hospital Kajang yang dijangka siap untuk kegunaan pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.
Selain itu, beliau berkata, aktiviti penyumberluaran perkhidmatan untuk membolehkan pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke hospital swasta telah mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan serta membolehkan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima mendapat rawatan di hospital awam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.