Bersih 2.0: Tawaran PM jamin kestabilan politik, demokrasi

TAWARAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan beberapa pembaharuan institusi adalah langkah yang baik untuk menjamin kestabilan politik dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Selain itu, Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam kenyataanmya hari ini turut menggesa pembangkang membentangkan jika benar mempunyai majoriti 111 dan menyatakan pakej pembaharuan yang mampu memperkukuhkan pentadbiran merentas parti.

“Mekanisme pembuktian ini perlu agar pembangkang mempunyai majoriti sebelum mereka dapat membuang PM sedia ada diistilahkan sebagai Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Voice of No Confidence).

“Ia perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan kekhuatiran orang ramai kepada kekosongan kementerian – sebagaimana yang berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari 2020 dan pembentukan Kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 8 Mac 2020,” kata Bersih 2.0. dalam laporan yang disiarkan portal Agenda Daily hari ini.

Dalam masa sama, pertubuhan berkenaan turut mencadangkan agar satu pembuatan dasar berkaitan pandemik yang lebih inklusif turut dilakukan sejajar dengan tawaran berkenaan.

Menurut pertubuhan itu, perkara berkenaan boleh dilaksanakan melalui Majlis Persekutuan-Negeri Bagi Kesihatan dan ekonomi, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen, dengan keanggotaan oleh menteri kanan, Ahli Parlimen pembangkang kanan, kesemua 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pakar atau teknokrat. – SB


Comments

Leave a Reply