[VIDEO] ‘Kemukakan kepada Agong nama calon Perdana Menteri’- Muhammad Fathi

AHLI-ahli Parlimen yang mengutus Surat Akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan tidak lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, seeloknya mengemukakan sekali nama calon Perdana Menteri baharu yang mereka inginkan.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata tindakan itu seiring dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara dalam melantik Perdana Menteri baharu.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(2)(a) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangan baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya. Kuasa lantikan ini ialah kuasa budi bicara Seri Paduka yang dijamin Perkara 40(2)(a).

Menurut Muhamad Fathi, penilaian itu bukan saja ke atas ‘kehilangan kepercayaan (kepada) Perdana Menteri’ sedia ada tetapi juga perlu mencakupi soal tahap kepercayaan yang dimiliki calon pengganti Muhyiddin.

“Malah dari perspektif ini, fokus wajar diberikan kepada penilaian terhadap tahap kepercayaan calon pengganti berbanding tahap kehilangan kepercayaan kepada Perdana Menteri sedia ada,” kata beliau.

Pakar Perlembagaan itu menegaskan, selagi Yang di-Pertuan Agong belum mendapati mana-mana pemimpin lain memiliki sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, maka segala dokumen, pengumuman media atau apa saja bentuk perakuan berkaitan hilangnya sokongan terhadap Perdana Menteri sedia ada tidak perlu diberikan perhatian.

Katanya, dalam realiti politik semasa, adalah lebih wajar jika penentuan status keabsahan dan tahap kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Perdana Menteri sedia ada diukur pada sidang Parlimen pada September nanti seperti dirancang.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, dalam membuat penilaian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri, Seri Paduka perlu mengambil segala cara yang perlu untuk mendapatkan maklumat tepat dan sahih.

“Antara cara yang boleh digunakan untuk menentukan ketepatan sesuatu maklumat ialah mengadakan pertemuan dengan setiap ahli Parlimen, sebagaimana yang pernah dilakukan Sultan Perak dalam krisis politik pada 2009,” katanya.

Menurut Muhammad Fathi lagi, penilaian yang dibuat juga perlulah menyeluruh, bukan sahaja tertumpu kepada ahli-ahli Parlimen yang membuat pengisytiharan.

“Kaedah ini perlu kerana terdapat kemungkinan perubahan sokongan seseorang atau sekumpulan ahli Parlimen mendorong kepada peralihan sokongan individu atau kumpulan ahli Parlimen yang lain,” katanya.