Empat anggota TUDM maut insiden tembakan di Kem TUDM Samarahan

0
442

EMPAT anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, kejadian berlaku jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

“Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas. Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dua rakannya yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

“Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

“Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,”katanya.

Katanya, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah hadir di tempat kejadian.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kejadian.

Sementara itu Markas Tentera Udara dalam kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan.

“Satu Lembaga Penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata kenyataan itu yang turut meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here