TAN Sri Muhyiddin Yassin berjanji Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.
“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas secara langsung hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan terhormat dan berpelembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku ketika ini.
Keutamaan beliau ketika ini adalah memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.
“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan ini pada minggu hadapan.
“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini dan saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata, jika cadangan kerjasama bipartisan itu dipersetujui, Sidang Khas Dewan Rakyat akan dibuat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.