Pendidik cadang kerajaan tangguh sesi persekolahan September ini

0
222

PERTUBUHAN Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik) mencadangkan kerajaan menangguhkan rancangan membuka sesi persekolahan pada September ini kerana amat berisiko.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata, ini kerana peningkatan kes harian Covid-19 yang melepasi 20,000 kes ditambah dengan ancaman varian Delta dan pada masa sama ramai guru dan pelajar masih belum divaksin.

“Keresahan ibu bapa digambarkan juga melalui pengumpulan petisyen daripada kalangan mereka yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar tidak membuka sekolah.

“Pendidik berpendapat, ibu bapa dan warga pendidik perlu diberi satu tempoh bersesuaian sehingga berjaya menyakinkan semua pihak seperti sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum sesi persekolahan dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, KPM perlu mendapatkan pandangan pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP),

Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) atau Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) sebelum sebarang keputusan dibuat.

KPM katanya, disaran mempertingkatkan mekanisme daripada segi perolehan vaksinasi bagi semua warga sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus untuk menyakinkan semua pihak.

“Langkah mempercepatkan program vaksinasi kepada pelajar khususnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sudah mencapai umur 18 tahun perlu disegerakan,” katanya.

Menurutnya, ini bagi memastikan calon STPM dan STAM lebih berkeyakinan untuk hadir dan belajar semula di sekolah dengan semangat baharu.

Pendidik katanya, mencadangkan sekolah dibuka secara berperingkat-peringkat bermula dengan pelajar yang menduduki peperiksaan penting.

“Sesi persekolahan juga boleh dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid, berada di kawasan zon hijau dan di kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok,” katanya.

Beliau yang juga Ketua PeneranganWanita Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, kaedah penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan kelompok murid juga boleh dilakukan.

Beliau berkata, kajian rintis di beberapa buah sekolah di bandar dan luar bandar mungkin boleh dibuat dengan Prosedur Operasi Standard

(SOP) yang ketat dengan syarat warga pendidik dan pelajar sudah diberikan suntikan vaksin dan imunisasi bersesuaian.

Pihak KPM katanya, perlu ada perancangan hala tuju jelas jika kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun untuk mengelak keciciran pelajar dan mengatasi kelesuan motivasi semasa PdPR terutama pelajar luar bandar.

“Pendidik mencadangkan KPM memanfatkan semaksima mungkin rancangan program Didik TV dengan menaik taraf kualiti dan pengisiannya.

“Sesi persekolahan secara bersemuka boleh dibuat sehinggalah terdapat petunjuk kes baharu harian yang semakin menurun hingga ke paras yang munasabah,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru selama 13 tahun. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here