SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta dipandunya terjatuh dari jambatan di Sungai Batang Lassa, di Daro dalam Bahagian Mukah, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 pagi tadi.
Tambahnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu
“Setibanya di lokasi, bomba mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi dan memeriksa lokasi yang dipercayai kereta itu terjatuh iaitu di tiang ke-10 jambatan yang masih dalam pembinaan itu dan berada 800 meter dari tebing sungai.
“Pemeriksaan mendapati, tiang keselamatan di tepi jambatan itu patah akibat dirempuh kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dan bomba dengan bantuan tiga bot milik syarikat pembinaan jambatan untuk membuat pencarian di permukaan.
“Kedalaman air di lokasi kenderaan itu terjatuh dianggarkan 12 meter ketika air pasang dan lapan meter ketika surut.
“PGO Sarawak juga sudah menghubungi Kawalan BBP Sungai Merah di Sibu untuk mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk digerakkan ke lokasi,” katanya