‘Jho Low serah telefon bimbit ketika Najib di talian’ – Saksi

0
272

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berada di talian semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Bekas Pengarah Pelaburan di Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Kelvin Tan Kay Jin, 50, berkata Jho Low bertindak demikian semasa mesyuarat pada 26 Sept 2009 yang dihadiri beberapa bekas Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Azlan Mohd Zainol dan Tan Sri Ismee Ismail serta bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee.

TIA telah dinamakan semula sebagai 1MDB pada 2009.

Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan yang menghadiri mesyuarat itu berkata apabila kehadiran Jho Low dipertikai oleh Che Lodin pada mesyuarat tersebut, Jho Low berkata beliau mempunyai peranan dalam ‘Lembaga Penasihat.’ 

Tan berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pertuduhan meminda laporan akhir audit syarikat itu.    

Muhammad Shafee: Mengapa nama Jho Low tidak dinyatakan dalam senarai kehadiran? Apa sumbangan beliau dalam mesyuarat itu?

Tan: Saya tidak ingat.

Muhammad Shafee: Apa yang pasti, beliau bukan datang untuk sekadar menunjukkan muka. Saya terpaksa membantu anda untuk mengingatinya semula. Jho Low pasti mengatakan sesuatu dalam mesyuarat itu. Jika tidak, apa guna beliau menghadirinya?

Tan:  Ya, pada suatu ketika, Tan Sri Lodin menyoal Jho Low apa yang dia buat di situ (mesyuarat) dan Jho Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Tan Sri Bakke dengan berkata perdana menteri di talian… dan saya ingat bahawa Tan Sri Bakke terkejut bahawa itu adalah perdana menteri.

Saya tidak ingat apa yang menyebabkan Jho Low menyerahkan telefonnya kepada Tan Sri (Bakke) supaya beliau bercakap dengan PM.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, saksi itu berkata PM yang beliau maksudkan ialah Najib.

Katanya beliau telah dinamakan sebagai antara defendan dalam saman yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas pekerja dan pengarah syarikat itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil dan jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Sept ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here