Ada suami tidak izin isteri hamil ambil vaksin Covid-19 – Zulkifli

0
252

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu ada menerima beberapa aduan suami tidak mengizinkan isterinya hamil menerima vaksin Covid-19.

“Ingin saya jelaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat. Adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan oleh Kerajaan.

“Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin Covid-19,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan tentang peningkatan jangkitan CovidD-19 dalam kalangan ibu hamil.

Sepanjang Jun 2021, 17 kes kematian direkodkan di mana 15 kes belum divaksin dan 2 kes menerima 1 dos vaksin.

“Alhamdulillah, daripada 146, 759 orang ibu hamil yang mendaftar di MySejahtera, 20% daripadanya telah lengkap menerima 2 dos vaksin,” ujar Zulkifli.

Beliau menambah, hasil maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perbincangan oleh ahli-.ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang terdiri daripada para Mufti dan Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja pada 12 Ogos 2021, maka Muzakarah telah mengambil ketetapan seperti berikut:

i) Bersetuju memperakukan keputusan terdahulu dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2020, iaitu; Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia; dan

ii) Sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah amat penting pengambilan vaksin COVID-19 bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.

Muzakarah juga menasihatkan kepada semua umat Islam untuk mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung hal ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here