UMNO perlu ikut prosedur, tak perlu salahkan RoS

0
309

SATU poster yang mengandungi kenyataan salah seorang Exco Pemuda UMNO menghentam Presiden parti itu tersebar di laman sosial Facebook sejak 8 Ogos lalu disifatkan sebagai satu niat jahat pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi status yang dimuat naik di akaun Facebook beliau yang mengulas isu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan penangguhan pemilihan UMNO.

Exco Pemuda Umno merangkap Ketua Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Nik Saiful Adli Burhan berkata, beliau mengulas perkara yang berlaku antara UMNO dan RoS mengikut pandangan dan peruntukkan undang-undang, bukan kerana berpihak kepada mana-mana individu atau parti lain.

“Saya tengok terlalu ramai orang yang mengulas perkara ini tidak mengikut peruntukkan undang-undang yang mana masing-masing mempolitikkan satu prosedur yang senang daripada RoS iaitu jika cukup tempoh, UMNO perlu buat pemilihan, jika tak mampu buat pemilihan, UMNO perlu buat penangguhan.


Penangguhan mesti dilakukan di dalam tempoh yang dibenarkan, sepertimana yang telah dilakukan oleh parti-parti lain,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Kata beliau, ianya jelas terdapat kecuaian daripada pihak UMNO dalam membuat mesyuarat di dalam tempoh yang dibenarkan iaitu sebelum 30 jun lalu dan berpandangan bahawa apa yang dilakukan oleh RoS adalah tindakan yang betul kerana mengikut prosedur dan peraturan yang telah diperuntukkan.

“RoS bukan menarik balik kebenaran penangguhan sebagaimana yang dikatakan oleh orang ramai, tetapi mereka ingin menilai semula samada kita telah mengikut prosedur yang sepatutnya kerana kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada prosedur.

“Jadi bila kita hantar minit mesyuarat (sepertimana yang diminta RoS) pada 7 Julai, kita telah melebihi tarikh tamat tempoh (30 Jun). Ini bermakna, terdapat kecuaian yang telah dilakukan oleh individu yang bertanggungjawab untuk memanggil mesyuarat kepada MKT iaitu banyak main politik hingga terlupa ada prosedur yang perlu diikut,” tambahnya.

Nik Saiful menjelaskan apa yang dimuat naik di status Facebooknya adalah dengan niat untuk menasihati pemimpin-pemimpin UMNO untuk membuat rayuan kepada RoS dan menjelaskan kepada jabatan itu tentang bagaiamana persetujuan untuk menangguhkan pemilihan diperoleh sebelum 30 Jun.

“UMNO perlu jelaskan kepada RoS supaya segala silap faham terhadap UMNO dapat diperbetulkan dan begitu juga sebaliknya.Bagi saya RoS dan UMNO perlu berkomunikasi bukan menghentam sesama sendiri melalui akbar,” ulasnya.

Saiful turut berpandangan terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk menyelesaikan isu ini iaitu dengan memperbetulkan kesilapan atau kecuaian yang telah dilakukan.

“Kalau tak dapat perbetulkan kesilapan, kita boleh buat rayuan kepada Ketua Pengarah RoS, kalau rayuan ini tak diterima, boleh buka rayuan kepada Menteri Kementerian Dalam Negeri.

“Kalau kita rujuk balik kepada kenyataan asal saya di FB, saya bagitahu andai kata kita (UMNO) teruskan buat kesilapan, maka UMNO perlu bertanggungjawab sekiranya UMNO diharamkan,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau beberapa kali menegaskan bahawa beliau tidak berpihak kepada sesiapa dan hanya memberikan pandangan mengikut undang-undang serta mempertahankan perkara yang benar.

“Saya hanya pertahankan perkara yang benar supaya ahli-ahli akar umbi dapat tengok kepada keadaan sebenar berbanding bermain sentimen kerana rakyat juga sudah bosan dengan permainan sentimen ketika pandemik COVID-19.

“Memberitahu perkara yang benar adalah tugas saya. Kalau saya tidak boleh nasihat perkara yang betul, maknanya saya tidak jujur kepada parti dan tidak jujur kepada profesion saya sebagai seorang peguam yang perlu terjemah undang-undang sebagaimana yang termaktub. Sekurang-kurangnya saya hormat karier saya sebagai seorang peguam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here