JASA seorang penggali kubur menguruskan pengebumian jenazah Covid-19 sejak pandemik melanda negara melayakkan seorang warga emas menerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021H.
Roslee Ali, 63, pernah menyediakan 40 liang lahad sehari, di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata anugerah itu adalah kategori baharu diperkenalkan tahun ini dan Roslee dipilih berdasarkan sumbangannya sebagai penggali kubur selama 10 tahun sejak 2011.
Selain anugerah Tokoh Utama Ma’al Hijrah, JAWI turut mengadakan empat kategori lain iaitu dua kategori petugas barisan hadapan (frontliner), korporat, mualaf dan pendakwah kreatif bagi menerima Anugerah Khas Ma’al hijrah 1443H/2021M.
“Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M memuktamadkan pemilihan pemenang pada 26 Julai lalu dengan mengambil kira sumbangan individu terbabit dalam bidang masing-masing ke arah memperkukuhkan syiar dan syariat Islam di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Pencalonan diteliti berdasarkan beberapa kriteria seperti daya kepimpinan dan teladan, sumbangan kepada masyarakat, sumbangan kepada organisasi dan sumbangan kepada peringkat negeri.
Menurutnya, kesemua pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak.
Senarai pemenang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri secara langsung menerusi rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah dan Facebook rasmi Jawi hari ini.
“Tokoh Pendakwah Kreatif dianugerahkan kepada pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya dan Tokoh Mualaf, Pembantu Mubaliligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Nur Maisarah Leong Yoke Keen,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.