HURU hara politik di Malaysia merupakan kesan daripada kebodohan dan perebutan kuasa oleh segelintir ahli politik.
Menurut penulis blog politik, Raja Petra Kamarudin, huru-hara politik negara bermula apabila apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 2020.
Raja Petra menjelaskan, tindakan beliau itu telah menyebabkan satu kelompongan kepimpinan tertinggi negara yang mana memerlukan pengganti dilantik segera yang mana perkara itu telah diselesaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang pada hemat baginda serta berdasarkan perlembagaan, telah membuktikan dirinya mempunyai sokongan majoriti di Parlimen pada ketika itu.
Tambah beliau, apa yang tidak difahami oleh kebanyakan orang ialah, wujud ruang pada ketika itu untuk menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melalui prosedur perundangan namun, pendekatan tersebut tidak digunakan oleh pihak-pihak yang terbabit.
Beliau selanjutnya berkata, apa yang terjadi hari ini adalah kesan, daripada tindakan kelompok yang kecewa dan terdesak kerana kehilangan kuasa akibat daripada kebodohan mereka sendiri.
“Golongan ini cuba menjatuhkan Tun Mahathir pada Februari 2020 kerana bimbang beliau tidak akan melepaskan jawatannya pada Mei tahun yang sama.
“Kerana bimbangkan dipermain oleh Tun Mahathir, kelompok ini cuba memaksa beliau untuk meletakkan jawatan dan itulah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri berkenaan sehingga mewujudkan kelompongan kepimpinan tertinggi negara dan seterusnya mendorong Agong untuk membuat keputusan bagi mengisi kekosongan tersebut,” jelas beliau dalam sesi temubual secara langsung bersama artis, Harith Iskandar pada Rabu.
Raja Petra selanjutnya berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa Muhyiddin merampas kuasa adalah tidak benar sama sekali kerana pada ketika itu beliau masih berada di dalam kerajaan.
Tambah beliau lagi, huru hara politik pada ketika ini juga adalah rentetan daripada usaha pihak tertentu untuk mempercepatkan lagi cita-cita politik untuk menjadi Perdana Menteri yang disimpan oleh individu tertentu sejak 40 tahun yang lalu.
Dalam pada itu, pengkritik politik tersebut turut mengatakan bahawa tidak wajar untuk mengatakan kerajaan pada hari ini gagal dalam menangani masalah penularan wabak Covid-19.
Ini kerana jika dilihat pada negara-negara lain seperti United Kingdom, usaha menangani wabak tersebut lebih teruk berbanding Malaysia.
“Kadar kematian akibat wabak tersebut jauh lebih tinggi berbanding apa yang berlaku di Malaysia.
“Malah keadaan lebih teruk apabila kematian-kematian tersebut tidak dilaporkan sebagai berpunca daripada covid-19. Hanya baru-baru ini sahaja mereka mengakui bahawa kematian tersebut adalah berpunca daripada virus berkenaan,” ujar beliau.
Setidak-tidaknya, di Malaysia, kerajaan berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan juga memastikan kesejahteraan ekonomi terjaga dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.
Raja Petra dalam masa sama juga mengatakan ada juga kebaikan daripada huru-hara politik yang berlaku ketika ini.
Menurut beliau, senario politik semasa telah membuatkan tiada satu pihak pun yang boleh mengaku mempunyai kekuatan politik.
Juga, dalam keadaan ini tiada siapa boleh mengaku paling layak untuk menggantikan pentadbiran sedia ada.
“Keadaan politik semasa di Malaysia ketika ini menyebabkan ahli-ahli politik tidak lagi boleh bersikap angkuh.
“Mereka kini terpaksa untuk benar-benar bergantung kepada sokongan rakyat dan tidak lagi mempunyai kebebasan untuk hanya mendengar pendapat penyokong,” jelas beliau.
Tegas beliau, ahli-ahli politik kini menyedari bahawa kelestarian politik mereka berada di dalam tangan rakyat.
Golongan ini juga kata beliau, kini tahu dan memahami bahawa mereka juga tidak boleh menolak pendapat dan pandangan bernas walaupun daripada dalam kalangan bukan penyokong mereka. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.