[VIDEO] Ambillah vaksin, Covid-19 bukan main-main – Shuib

PELAWAK Shuib Sepahtu menasihati orang ramai supaya tidak menolak vaksin Covid-19 kerana ia dapat membantu di saat seseorang berdepan virus berkenaan.

Mengakui beliau antara antara orang yang tidak begitu percaya dengan keseriusan ancaman Covid-19 sehingga sering keluar rumah tanpa rasa takut akan dijangkiti virus tersebut, Shuib menambah, jangkitan Covid-19 boleh berlaku sekelip mata.

“Jika berpeluang untuk ambil vaksin, ambillah. Di saat kematian kita hadapi hari-hari. Kalau Covid-19 nak terjadi, sekelip mata ia boleh berlaku.

“Dulu saya tak berapa nak percaya, tapi bila dah kena batang hidung,” katanya berkongsi pengalaman menerusi Instagram live berdepan virus itu yang telah meragut nyawa isterinya, Siti Sarah Raisuddin, semalam.

Menurut Shuib, arwah isterinya tidak sempat menerima vaksin.

“Paru-paru dia almost penuh dengan virus Covid-19 sehingga menyebabkan sukar untuk proses oksigen dan organ badan dia tidak dapat berfungsi dengan baik. Doktor beritahu jika sudah ambil mungkin ia tidak akan seteruk ini.

“Ada nurse minta saya sampaikan agar dapat sedarkan rakyat Malaysia tentang (kepentingan) vaksin. Covid-19 ni bukan main-main.

“Kalau berpeluang ambil vaksin, pergilah ambil vaksin. Kematian akibat Covid-19 berlaku hari-hari. Apabila dah jadi macam ini, there is no u-turn,” katanya.

Siti Sarah menghembus nafas terakhir pada jam 5.13 pagi semalam di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas lima hari bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

Dalam sesi tersebut, Shuib turut memberitahu, keluarga mereka dipercayai dijangkiti virus tersebut dari pembantu rumahnya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Katanya, pembantu rumahnya dijangkiti virus tersebut selepas bersalaman dengan seorang rakan ketika keluar membuang sampah.

Tambah Shuib, masyarakat perlu menjaga kesihatan dan jangan sesekali sayangkan duit terutama ketika situasi Covid-19 yang sedang mengganas di negara ini ketika ini.

“Saat di dalam ambulans, saya terfikir nak bawa isteri ke hospital swasta, tapi tak berpeluang sebab penuh. Masa tu memang terdetik, duit banyak mana pun tak akan boleh sihatkan isteri saya.

“Jika banyak duit, jagalah kesihatan, amalkan vitamin untuk kuatkan sistem imun kita. Kalau tak ada duit amalkan pemakanan sihat, dan beli oximeter… tolong jangan sayang duit,” katanya.

Menurutnya, jika seseorang telah terkena Covid-19, alat oximeter akan membantu menentukan tahap oksigen dalam badan seseorang yang menjadi penanda keseriusan penyakit itu.

“Jika bacaan tahap oksigen itu di bawah 95, cepat-cepatlah ke hospital, jangan tangguh-tangguh seperti mana tahap oksigen Siti Sarah pernah turun sampai 93, 94,” katanya.

Shuib turut berkongsi detik sedih ketika dia menyampaikan khabar sedih tentang kematian Siti Sarah kepada tiga anaknya sebaik sahaja dia pulang ke rumah selepas pengebumian arwah isterinya.

Menurutnya, ia merupakan saat paling sukar sehingga mengambil masa yang agak lama bagi menjelaskan kepada anak-anaknya itu.