Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000 -

Tiga anggota polis didakwa terima suapan RM2,000

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

TIGA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000 supaya tidak melaporkan kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, Konstabel Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Konstabel Shahrul Norhan Sirhan, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.

Suapan itu sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang PKP di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun di sini pada 25 Jun lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mereka turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu bagi kesalahan sama di lokasi, tarikh dan masa sama, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. – SB