Siti Sarah sempat korban seekor lembu di Gaza – Nadir Al Nuri

0
236

PEMERGIAN penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin mengejutkan ramai termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Nadir Al-Nuri berkongsi amal kebaikan yang dibuat Allahyarham ketika mahu melakukan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, pada Julai lepas.

Melalui perkongsian di Facebook, Nadir memaklumkan Siti Sarah ada menghubunginya menerusi kiriman mesej langsung (DM) di Instagram bagi menyatakan hasrat untuk mengorbankan seekor lembu di Wilayah bergolak itu.

“Tersentap sekejap baca berita pemergian Siti Sarah. Saya dihubungi Siti Sarah sebelum Raya Haji lepas untuk dia ikuti program korban di Gaza.

“Masa itu saya terkejut dia maklumkan untuk korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit.

“Bukan satu bahagian sahaja, seolah-olah dia sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” katanya.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia menyifatkan Siti Sarah sebagai seorang yang prihatin apabila sering berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan umat Islam di Palestin.

“Dia kerap berhubung bertanyakan tentang keadaan saudara kita di Palestin.

“Rupanya Allah takdirkan nyawa beliau diambil dalam keadaan memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka.

“Malah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntung lah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga Syuhada akhirat di bumi berkat,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, Nadir juga sempat meminta kebenaran untuk berkongsi kebaikan Siti Sarah itu bagi memberi manfaat kepada umat Islam yang lain.

Walaupun pada awalnya Siti Sarah mahu merahsiakan amalnya itu, namun dia memberi kebenaran untuk Nadir membuat perkongsian kepada umum jika ia memberi kebaikan bersama.

Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafas terakhirnya tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Berita pemergian ibu kepada lima anak yang juga juga isteri kepada pelawak Shuib itu itu dimaklumkan syarikat pengurusan penyanyi bersuara emas itu, Indigital Music. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here