Mayat penyelam ditemukan di Sungai Besar

0
263

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MAYAT seorang penyelam ditemukan terapung oleh nelayan tempatan pada kedudukan 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mayat lelaki itu yang lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen, ditemukan kira-kira pukul 3 petang.

Nelayan terbabit kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memaklumkan penemuan tersebut.

“Pasukan mencari dan menyelamat APPM, berserta bot Pasukan Polis Marin (PPM) bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan, dan telah ditemukan terapung sekitar pukul 6 petang.

“Pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam, sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Rosli berkata, penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, seorang penyelam, Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai telah melakukan selaman bersama tiga rakan yang lain, bagi tujuan mengikat tali pada bot karam sebelum mangsa hilang pukul 10.30 pagi, dan tidak timbul ke permukaan air di perairan Sungai Besar.

Pencarian telah dilakukan sekitar perairan Sungai Besar dengan melibatkan dua aset APMM, satu aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia, dua aset dari PPM serta komuniti nelayan, manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat dari APMM dan polis. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here