Jenazah Siti Sarah selamat dikebumi

JENAZAH penyanyi terkenal tanah air, Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Kira-kira 10 petugas berpakaian lengkap PPE membantu proses pengebumian berkenaan yang turut disaksikan oleh kumpulan petugas media dari jarak jauh.

Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad menghembus nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas lima hari bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan Covid-19.

Pada 27 Julai, mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, Siti Sarah dilaporkan mengalami batuk dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke HCTM UKM pada Khamis.

Paras kesihatan beliau semakin merosot dan pasukan doktor mengambil keputusan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan secara pembedahan pada Jumaat dan selamat dilahirkan.

Namun, Siti Sarah terpaksa ditidurkan berikutan kandungan oksigen dalam badannya dilaporkan kurang stabil.