PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan tindakan segelintir ahli-ahli UMNO yang menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional akan mendorong mereka menyertai Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, meskipun setakat ini belum ada usaha ke arah itu, gabungan tersebut tidak mustahil berlaku.
Menurut beliau, kemungkinan itu dibuat jika kedua-dua parti mengambil kira dasar parti dan bukan sentimen kebencian semata-mata.
Malah tegasnya, PKR dan UMNO hakikatnya berkongsi dasar yang sama iaitu memelihara kepentingan Melayu dan Islam.
Sekali gus kata Saifuddin, pendirian No Anwar, No DAP yang dipegang UMNO hanyalah sentimen semata-mata dan bukan dasar parti.
Menurut Setiausaha Agung PKR itu lagi, beliau tidak percaya No Anwar, No DAP itu satu dasar parti, tetapi hanyalah sentimen dalam parti.
Katanya, ada beza antara dasar dengan sentimen yang mana dasar itu kekal manakala sentimen itu tidak kekal dan boleh hilang.
Menurut Saifuddin lagi, persamaan dasar PH dan UMNO dalam mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan, mengakui peranan Raja-raja Melayu, kedudukan Melayu dan hak bumiputera lain, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan boleh menjadi titik pertemuan kedua-dua parti.
Saifuddin mengambil contoh bagaimana penggabungan UMNO dan Pas yang dilihat mustahil boleh berlaku atas nama Muafakat Nasional.
Sekiranya perkara ini berlaku para pemerhati politik melihat cadangan jajaran politik baharu antara UMNO, PKR dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bakal menjadi kenyataan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.