Saya setia kepada UMNO, sangsi kepada Presiden – KJ

SETIA pada UMNO, tetapi sangsi kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Rembau, Khairi Jamaluddin ketika memberikan kenyataan berani itu menyatakan, pendiriannya berpunca daripada beberapa tindakan Ahmad Zahid kebelakangan ini.

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi itu menyatakan, surat yang diserahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Oktober lepas adalah antara contoh tindakan Ahmad Zahid yang menyebabkan beliau sangsi terhadap presidennya itu.

Antara lain, dalam surat tersebut Ahmad Zahid menyatakan semua ahli parlimen UMNO telah mengalihkan sokongan mereka kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak pernah dirujuk mengenai perkara tersebut apatah lagi memberikan kebenaran untuk nama saya untuk digunakan oleh Presiden (UMNO).

“Selain itu isu rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar yang tular yang mana beliau pada mulanya mengatakan mahu membuat satu laporan polis mengenainya selepas itu mengakui rakaman itu benar berlaku,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri di Johor hari ini.

Menteri penyelaras program imunisasi covit19 kebangsaan itu turut menyatakan, satu lagi contoh yang menyebabkan beliau sangsi terhadap Ahmad Zahid ialah pengumuman beliau baru-baru ini yang mengatakan semua ahli parlimen UMNO tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Pakatan Nasional.

“Saya ada masalah untuk percaya Presiden ini.

“Saya masih lagi ahli UMNO dan menyarankan agar parti bersabar sehingga September untuk mengundi bagi menentukan keabsahan kerajaan ini,” kata beliau.

Khairy turut menegaskan, beliau masih lagi ahli UMNO dan meminta semua pihak untuk membenarkan beliau menjalankan tugas melaksanakan program vaksinasi negara kerana ia melibatkan nyawa rakyat. – SB