KKM siasat dakwaan kesilapan pemberian vaksin di Kedah

KEMENTERIAN Kesihatan sedang menyiasat dakwaan bahawa berlaku kesilapan dalam pemberian jenis vaksin COVID-19 bagi suntikan dos kedua kepada seorang penerima di Sik, Kedah pada Khamis lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata meskipun belum ada laporan dibuat namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menunggu hasil siasatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Saya pun dapat berita daripada akhbar dan saya percaya siasatan sedang dijalankan.

“Kita perlu buat siasatan kerana dalam memberikan suntikan vaksin, petugas hendaklah berhati-hati, tengok dulu botol suntikan dan tunjuk jenis vaksin kepada penerima supaya tidak berlaku kesilapan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang wanita bahawa ibunya tersalah menerima vaksin jenis Sinovac untuk dos kedua di PPV Dewan Al-Hana di Sik.
 
Noor Azmi berkata, beliau menghargai dan memahami keadaan petugas yang terpaksa menyuntik beratus-ratus orang namun mereka perlu memberikan perhatian semasa menjalankan tugas. – BERNAMA