Oleh Abu Ubaidillah Rahman
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Johor akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.
Menurut Tunku Ismail, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Royal Johor Polo Club di sini hari ini.
“Pertemuan ini mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor dan hasil perbincangan ini, Johor akan menerima sebanyak dua juta dos vaksin untuk bulan ini.
“Dos vaksin ini tiba pada 1 Ogos berjumlah 324,940 dos, pada 9 Ogos (564,234 dos); 16 Ogos (340,150 dos) dan 23 Ogos (796,344 dos),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.
Hadir sama dalam pertemuan itu Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tunku Ismail juga sudah mengarahkan kerajaan negeri untuk membuka satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu khas di Arena Larkin di sini bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapatkan dos vaksin mereka.
“Semoga pengumuman ini akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat,” kata Tunku Ismail. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.