TINDAKAN 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang secara terbuka mengumumkan keputusan untuk terus kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sesetengah pihak sebagai “undi tidak percaya” terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Penganalisis politik, Hisommudin Bakar berkata, perkara itu jelas ditunjukkan berdasarkan sidang media yang dilakukan secara beramai-ramai oleh kumpulan tersebut tengah hari tadi.
“Ini adalah penentangan terbuka, yang dibuat secara unilateral oleh ahli Parlimen BN, tanpa berbincang dengan Zahid.
“Mereka menggunakan hujah bertanding pilihan raya atas tiket BN, bukannya UMNO,” katanya seperti dilapor portal MalaysiaNow.
Pemerhati politik Kamarul Zaman Yusoff pula percaya Zahid kini berdepan masalah besar.
“Bila majoriti ahli Parlimen bersetuju maka ia boleh membawa makna ketidakpercayaan sebahagian besar daripada mereka terhadap beliau,” ujarnya.
Beliau menambah, walaupun dari perspektif UMNO, Zahid masih belum mampu disingkirkan, namun dalam konteks BN ia berbeza apabila semua parti komponen BN menentang beliau.
Seramai 31 ahli Parlimen BN diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepemimpinan perdana menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.