Pendapatan purata isi rumah merosot akibat Covid-19

0
208

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

LAPORAN Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 mendapati pendapatan isi rumah sepanjang tahun lalu mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, laporan itu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Menurutnya, penurunan tersebut disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.

“Bukan sahaja akibat kehilangan pekerjaan, malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

“Pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah yang mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding pada tahun 2019 dan nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada tahun 2020 ialah RM5,209 (2019: RM5,873),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan pendapat isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

Menurutnya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penurunan paling rendah serta kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743.

Berdasarkan kajian tersebut katanya, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah pada 2020 berbanding 405,400 isi rumah kepada 8.4 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here