Kes Zahid Hamidi ditangguh ke 24 Ogos

PERBICARAAN kes 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi
terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan esok di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguh ke 24 Ogos.

Penangguhan dibuat selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan COVID-19.

Peguam beliau, Hamidi Mohd. Noh, memaklumkan penangguhan itu berikutan beberapa staf di pejabatnya disahkan positif COVID-19.

“Saya membuat permohonan itu kepada mahkamah pada 2 Ogos lepas kerana kesukaran untuk mengakses dokumen-dokumen perbicaraan yang kini berada di pejabat. Mahkamah telah benarkan penangguhan itu.

“Pejabat terpaksa ditutup sementara waktu berikutan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan staf di firma saya,” katanya kepada Bernama.

Penangguhan tersebut turut disahkan oleh ketua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum ini menetapkan enam hari mulai esok untuk mendengar hujah kedua-dua pihak setelah pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac selepas memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – SB