SAYA mengakui telah berbuat salah – itulah pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamed dalam satu temu bual yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Pengakuan yang dibuat itu merujuk kepada kehadiran beliau dalam perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim semalam bagi membantah penangguhan sidang khas Dewan Rakyat selama dua minggu.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan, perhimpunan sedemikian tidak wajar diadakan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.
“Saya mengakui saya sendiri buat salah. Semalam saya hadir perjumpaan wakil rakyat (pembangkang) mula-mula saya fikir nak duduk dalam kereta nak tunjuk saya sokong. Bila sampai orang kumpul saya pergi dan duduk dengan orang.
“Hari ini saya lakukan ujian lagi sekali, negatif. Tapi itu tak patut saya lakukan (sertai himpunan), majlis seumpama itu tak harus diadakan. Kalau nak ada perjumpaan patut buat secara ‘online’, melalui zoom, kalau nak protes guna zoom,” katanya menerusi wawancara Solusi Selamatkan Malaysia di laman Facebook Reset Malaysia.
Perhimpunan yang berlangsung pada pagi semalam itu turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama blok pembangkang.
Dalam pada itu, pada hari ini media melaporkan salah seorang daripada pegawai Tun Mahathir telah dikesan positif dijangkiti varian Delta Covid-19. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.