Program Food Bank Malaysia bantu ringankan beban kumpulan B40

BARU-BARU ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, telah menyerahkan bakul makanan kepada 100 Ketua Isi Rumah (KIR) penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Dato Sri Alexander, sesi penyerahan sumbangan sempena Program Hand-to-Hand Bersama Komuniti dan Petugas Barisan Hadapan pada hari ini merupakan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan disokong oleh syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd serta Rakan Strategik Utama Sekretariat Food Bank Malaysia iaitu The Lost Food Project.

Tambah beliau, MyCC telah menyumbangkan sebanyak 800 bakul makanan kepada golongan sasaran B40 di Sabah dan di kawasan Lembah Klang.

Program berbentuk Corporate Social Responsibility (CSR) turut melibatkan SSM yang menyumbang bantuan berbentuk Zakat kepada golongan fakir miskin kepada 500 buah keluarga.

Program kerjasama ini telah mula dilaksanakan pada 19 Julai 2021 di Masjid Puncak Taqwa Pekan Kinarut Papar, Sabah dan turut diperluaskan di Lembah Klang meliputi kawasan seperti Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur, Taman Petaling Utama Petaling Jaya, Pangsapuri Desaria Petaling Jaya, Flat Citra Taman Kajang Utama dan Kajang Perdana Kajang.

Tambah lagi, program ini turut dilaksanakan di Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahmiah (HTAR) Klang dengan sasaran sejumlah 600 bakul makanan yang akan disumbangkan.

Kolaborasi bersama pihak MYCC dan SSM adalah satu langkah progresif dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang.

Menurut Alexander, kerajaan akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dengan bantuan yang berterusan melalui inisiatif Program Food Bank Malaysia yang diterajui oleh Kementerian ini.

Beliau juga berharap program seumpama ini dapat mengurangkan beban kepada penerima-penerima tersebut dan memberikan suntikan semangat serta penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan yang sangat komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kementerian juga berharap lebih banyak agensi kerajaan dan swasta yang bermurah hati untuk berkerjasama dalam memberikan sumbangan bentuk makanan dan keperluan diri serta rumah bagi memastikan kelangsungan hidup golongan berkenaan. – SB