Kompaun ahli Parlimen pembangkang langgar SOP

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

AHLI Parlimen pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan di sekitar ibu negara semalam perlu dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu wajar diambil pihak berkuasa ekoran perbuatan golongan berkenaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menjaga penjarakan fizikal.

“Bagi saya mereka yang bersalah melanggar SOP itu perlu didenda kerana sebelum ini jika perkara sama berlaku kepada pemimpin kerajaan, mereka menuduh kita sebagai golongan kayangan.

“Jadi saya berharap tiada unsur perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Covid-19 kepada 70 tukang gunting rambut daerah ini di kediamannya di Ajil di sini malam tadi.

Semalam, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, mereka akhirnya bersurai setelah usaha memasuki bangunan Parlimen gagal kerana dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di bulatan berhampiran Dataran Menara.