Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

0
254

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEBANYAK 3,647 laporan insiden keselamatan siber direkodkan Kementerian Pertahanan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd. Aziz berkata, laporan itu melibatkan antaranya penipuan dalam talian, pencerobohan dan kod jahat, dengan pihak kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima kesannya.

“Oleh itu, kami telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan memuat naik bahan yang telah diluluskan (di media sosial milik Kementerian Pertahanan),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan yang diadakan secara maya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan.

Muez berkata, seperti sedia maklum, Kementerian Pertahanan dan ATM mempunyai isu-isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya, sehubungan itu pihak berkenaan digalakkan agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat.

“Adalah penting setiap maklumat yang dimuat naik perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan ia tepat, sahih dan benar,” katanya.

“Trend perkongsian dan penyebaran maklumat kini semakin meluas membuatkan lebih mudah terdedah kepada isu-isu keselamatan, ketirisan maklumat, perkongsian berita palsu serta penyebaran sumber yang kurang tepat dan sahih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here