Iran puji program imunisasi Malaysia

0
250

IRAN memuji Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menurut negara itu dilaksanakan tanpa mendiskriminasikan mana-mana pihak termasuk rakyat asing yang berada di Malaysia.

Pujian itu disampaikan menerusi Kedutaan Iran di Kuala Lumpur sambil berterima kasih kepada kerajaan atas kerjasama dan bantuan penuh memberi vaksin kepada rakyatnya di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini Kedutaan Iran berkata Malaysia melancarkan PICK pada saat kritikal dengan langkah-langkah diperlukan sehingga berjaya memberi suntikan lebih 20 juta dos dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Rekod pemberian vaksin harian tertinggi melebihi 500,000 dos juga menjadi kejayaan luar biasa dan mengagumkan dunia.

“Malaysia menerusi inisiatif PICK memasukkan semua rakyat asing dan tiada pengecualian yang dibuat oleh pegawai kesihatan. Langkah dan inisiatif itu sangat konstruktif tanpa wujud sebarang diskriminasi,” katanya.

Iran berkata, penyelarasan antara Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi serta komuniti diplomatik di Kuala Lumpur, membolehkan vaksinasi terhadap semua kakitangan dan diplomat dijalankan.

Kedutaan Iran berterima kasih atas kerjasama dan bantuan pihak berkuasa sehingga kebanyakan rakyatnya yang tinggal di Malaysia turut menerima manfaat, hingga tersenarai sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Sebilangan mereka telah menerima dos pertama dan kedua, menerusi penyelarasan kedutaan. Tidak dinafikan kerajaan Malaysia harus dipuji dalam penyelarasan adil ini dan semua masyarakat dilindungi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here