‘Senyumlah Nur Dhabitah’ – Muhyiddin

0
374

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri atas aksi dan tentangan yang dipamerkan dalam saingan akhir 3 meter papan anjal wanita individu di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sambil menyifatkan aksi Nur Dhabitah amat mengagumkan, Perdana Menteri berkata, biarpun tanpa pingat, kelibat dan aksi anak muda berusia 22 tahun itu nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.

‘’Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.

‘’Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang. Senyumlah Nur Dhabitah!,’’ kata beliau dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Nur Dhabitah Sabri menamatkan cabaran di tempat keempat di Pusat Akuatik Tokyo setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.

Juara bertahan dari China Shi Tingmao, yang mengumpul 383.50 mata memenangi pingat emas, manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak setelah mengutip 348.75 mata, sementara pingat gangsa milik Krysta Palmer setelah penerjun Amerika Syarikat itu mencatat 343.75 mata.

Namun, biarpun terlepas peluang menyumbangkan pingat kedua kepada Malaysia, aksi Nur Dhabitah mencuri tumpuan rakyat Malaysia sehingga menjadi ‘trending’ di media sosial, apabila penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa mengukir senyuman ketika melakukan terjunan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here