Mat Salleh Cari Makan sah positif COVID-19, denggi

SELEBRITI media sosial yang cukup terkenal dengan gelaran Mat Saleh Cari Makan dalam kalangan pengikutnya, Rhys William disahkan positif COVID-19 dan denggi.

Perkhabaran ini dimaklumkan sendiri olehnya melalui akaun Facebook peribadinya.

Rhys memaklumkan bahawa isteri serta anak kecilnya turut disahkan positif Covid-19 dengan sedikit simptom.

“Untuk pengetahuan semua, sejak minggu lepas saya dan keluarga saya disahkan positif Covid.

“Nasib baik isteri dan anak hanya ada sikit simptom dan selamat berkuarantin di rumah,” tulisnya.

Rhys ketika ini dinasihatkan oleh doktor untuk dirawat di hospital kerana simptomnya lebih teruk sekali dengan pneumonia dalam paru-paru (Covid kategori 3).

Vlogger Mat Saleh Cari Makan ini turut sempat memohon maaf jika ada tersalah kata dan sempat memohon doa ramai untuk kesembuhan buat dirinya dan juga keluarga.

“Kepada semua rakan-rakan dan follower-follower saya, saya ingin mohon maaf jika ada kekurangan ke kesilapan sepanjang kita kenal.

Rhys turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua yang menyokong dirinya selama ini.

“Saya juga nak ambil peluang ni untuk ucap terima kasih kepada orang yang sentiasa support saya.

“Covid is real guys. Please pray for me and my family. Stay safe semua ,” katanya.