Tindakan undang-undang menanti penjual ubat Ivermectin

0
223

PIHAK yang mempromosi penjualan ubat Ivermectin sebagai penawar Covid-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) yang dipetik Sinar Harian, Amrahi Buang, kesalahan itu berdasarkan Akta Racun 1952 mengenai penjualan ubat tersebut.

Katanya, sesiapa yang melakukan perkara itu telah menyalahi undang-undang dan boleh dihukum tanpa mengira sama ada mereka doktor, ahli farmasi dan sebarang pihak.

“Mereka (ahli farmasi atau doktor) perlu memaklumkan kepada pesakit mengenai ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Amrahi pada masa sama membidas penjualan ubat tersebut secara meluas termasuk dalam talian.

Ujarnya, ubat itu boleh didapati menerusi dalam talian dan jika diimport, ia boleh melepasi pelbagai peringkat seperti kastam.

“Sedangkan ubat berkenaan belum diluluskan penggunaannya bagi rawatan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pihaknya berasa bimbang dengan pembelian Ivermectin oleh pengguna sama ada di luar negara atau dalam talian adalah ubat yang palsu.

“Macam mana seseorang itu boleh tahu itu bukan ubat palsu? Sebab ia tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan terhadap penjualan ubat ini sama ada secara dalam talian atau dibawa masuk dari luar negara.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label untuk kajian klinikal sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here