“Sekurang-kurangnya saya tidak perlu beli barangan keperluan bulan ini”

APA makna bantuan bakul makanan kepada anda? Mungkin ada yang tidak berasa apa-apa. Namun bagi yang memerlukan, ia sangat berharga.

Bagi Samsiah Yusof, 52, dari Kampung Sungai Jelutong, Padang Lebar Kuala Pilah, bantuan bakul makanan amat bermakna.

“Bantuan ini sangat dihargai, sekurang-kurangnya saya tidak perlu membeli barangan keperluan untuk masa sebulan ini,” katanya kepada BERNAMA selepas menerima bantuan itu daripada Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith.

Menurut Samsiah, kebimbangannya mengenai kelangsungan hidupnya bersama ibu yang uzur serta abang yang tidak sihat kerana ketiadaan punca pendapatan sedikit terubat apabila menerima bantuan bakul makanan itu.

Dalam situasi ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum reda, kehidupan Samsiah yang terpaksa berhenti kerja sejak lima tahun lalu untuk menjaga ibunya Fatimah Sihin, 89, bertambah sukar apabila abangnya, Samsudin Yusof, 55, tidak lagi dapat membantu keluarga kerana menghidap penyakit batuk berdarah.

“Abang baru sahaja keluar dari hospital dan sebelum ini dia yang membantu keluarga dengan melakukan kerja kampung namun kini tidak mampu meneruskan kerjanya,” ujarnya.

Menurutnya, mereka tiga beranak terpaksa berjimat cermat kerana hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan kewangan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM750 sebulan.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata penduduk di daerah Kuala Pilah yang terjejas pendapatan dialu-alukan datang ke pejabat Pusat Khidmat Rakyat Kuala Pilah untuk mengambil bakul makanan.