Saya sudah cuba yang terbaik – Zii Jia

ATLET badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal menempah slot ke peringkat suku akhir setelah ditundukkan oleh wakil China, Chen Long dalam Pusingan 16 terbaik Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Khamis.

Awal minit perlawanan set pertama, Lee Zii Jia dilihat mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kanannya dalam usaha menyelamatkan pukulan ‘smash’ daripada Chen Long.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menganggu fokus Zii Jia yang masih mampu mengawal rentak permainan sehingga memperoleh kemenangan 21-8 pada set pertama.

Pemain nombor lapan dunia itu agak ketinggalan pada awal set kedua setelah kerap melakukan kesilapan mudah sekaligus membuka peluang kepada Chen Long yang lebih selesa bertahan memenangi dan set kedua 21-19.

Pada set ketiga, Chen Long memperoleh kemenangan 21-5 setelah mengasak jaguh badminton negara dengan serangan bertali arus dan mengawal permainan sepenuhnya.

Dalam wawancara selepas perlawanan bersama Astro Arena, Zii Jia menyatakan dirinya sudah mencuba yang terbaik mengejar mata yang ketinggalan namun kemenangan tidak berpihak kepadanya.

“Awal set ketiga, Chen Long selalu tukar strategi jadi perkara itu lebih susahkan saya,” katanya.

Zii Jia turut menyatakan bahawa dirinya berpuas hati dengan prestasinya di pentas Olimpik Tokyo ini.

“Pada saya, saya sudah bagi yang terbaik walaupun dengan keputusan yang tak bagus sangat, tapi ini tetap pengalaman yang bagus buat saya,” tambahnya.

Keputusan pusingan kalah mati ini membuka jalan kepada Chen Long untuk mara ke suku akhir menentang wakil perseorangan Taiwan, Chou Tien Chen pada Jumaat. – SB