Carlsamsudin tampil mohon maaf; tak terfikir tindakannya biadap, cuma nada terlebih semangat

SEHARIAN dihujani dengan kecaman dan kritikan daripada netizen pelbagai laman sosial ekoran isu video tindakan kurang sopannya meninggikan suara kepada salah seorang gelandangan warga emas di ibu kota semalam, usahawan dan influencer, Khalif Samsudin atau Carl Samsudin tampil memohon maaf secara terbuka melalui akaun Instagramnya, @carlsamsudin hari ini.

Carl memulakan permohonan maafnya dengan ucapan “Im sorry Malaysia” dan kemudian menjelaskan bahawa dirinya tidak berniat untuk menghina sesiapa terutamanya gelandangan warga emas yang dikunjungi semalam.

“Selama saya hidup, tidak pernah saya berlaku biadap kepada sesiapa terutama warga tua, saya cuba sedaya upaya menghormati semua golongan,” tulisnya.

Sambil memohon maaf berulang kali, Carl memberi justifikasi bahawa dirinya memberikan layanan yang baik kepada kesemua gelandangan warga emas yang terlibat di dalam ceramah motivasinya dan tidak terfikir bahawa tindakannya itu biadap.

“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan uncle tersebut, saya mohon maaf atas ketidak beradapan saya.

“Sejujurnya sebelum, semasa dan selesai saya bercakap, saya menyantuni uncle dan semua gelandangan dengan baik dan mereka semua gembira pada hari tersebut. Sebab itu saya tidak terfikir akan ada sesuatu yang kurang baik dari video tersebut dan saya post di sosial media saya-saya mohon maaf,” tambahnya.

Carl turut mengatakan bahawa dirinya tidak pernah terlintas untuk menghina golongan tersebut yang memerlukan bantuan kerana dirinya pernah susah dan juga memerlukan bantuan orang ramai suatu ketika dahulu.

“Untuk apa saya bersusah payah membantu mereka jika untuk menghin mereka? sedangkan saya sendiri manusia yang hina dan penuh dengan dosa,” tulisnya lagi.

Carl kemudian mengatakan dirinya akan berjumpa dengan warga emas yang terlibat di dalam video tersebut untuk meminta maaf dan memperbetulkan kesilapapannya dalam masa terdekat.

Menjelaskan situasi sebenar kejadian, Carl menjelaskan bahawa dirinya menggunakan nada yang bersemangat dan bukan untuk menghina atau bersikap biadap ketika mengajukan soalan kepada warga emas tersebut.

“Jika perhatikan betul-betul video penuh itu dengan teliti anda akan faham apa yang saya cuba sampaikan. Siapa yang pernah hadiri motivational talk saya akan faham macamana semangatnya saya bercakap dengan cara saya sendiri bagi mereka yang datang kepada saya untuk dibantu bangkit dan ubah hidup.

“Saya bukan marah, saya hanya memang bersemangat bila bercakap membantu orang. Saya tidak sesekali mengeluarkan perkataan mengeji dan menghina, Cuma nada saya agak bersemangat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Carl turut mengaku dan memohon maaf kerana tidak memakai pelitup muka pada hari kejadian di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, dan telah dikompaun sebanyak RM1,500.

Sejak semalam, video berdurasi 50 saat itu tular di platform Twitter dengan jumlah ulang kicau sebanyak 14.5 ribu dan telah membangkitkan amarah warga maya terhadap kelakuannya meninggikan suara kepada salah seorang warga emas gelandangan yang disifatkan biadap