Terengganu dijangka beralih ke Fasa 4 PPN hujung Oktober

BERDASARKAN petunjuk dan perkembangan semasa seperti kadar peratusan lengkap divaksinasi negara, kerajaan negeri menjangkakan Terengganu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya pada hujung Oktober depan.

Menurut Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ini kadar peratusan lengkap divaksinasi bagi populasi dewasa yang sehingga kini telah mencapai tahap 82.7% manakala bagi dos pertama telah melebihi 90%.

Jelas beliau, perkembangan terkini mengenai pencapaian program vaksinasi itu akan dibawa ke mesyuarat khas peringkat pusat jawatankuasa khas pandemik untuk dibincangkan dalam konteks peralihan fasa bagi Terengganu.

“Insya-Allah esok akan ada mesyuarat khas di peringkat pusat mengenai jawatankuasa khas pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam mesyuarat tersebut, perkara ini (peralihan fasa) juga diteliti dan kalau ikut keadaan semasa, kita jangka akan dapat beralih ke fasa seterusnya (Fasa Empat) paling lewat sebulan lagi,” katanya selepas melakukan tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan pada Selasa.

Seramai 1,470 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga dari empat sekolah menengah di daerah Marang menerima dos pertama sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan Oktober ini. – SB