[VIDEO] Tidak wajar

TINDAKAN dua penunggang basikal yang tular di laman Twitter sejak semalam apabila bertindak untuk menunggang di tengah jalanraya di Putrajaya adalah tidak wajar dan tidak disyorkan kepada penunggang-penunggang lain.

Setiausaha Persatuan Berbasikal Putrajaya, Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, di Putrajaya mempunyai dua jalan yang boleh digunakan oleh penunggang-penunggang basikal, iaitu laluan pejalan kaki dan juga ‘shared road’.

Katanya, laluan pejalan kaki sememangnya boleh dikongsi bersama penunggang basikal manakala ‘shared road’ adalah laluan di sebelah kiri jalan raya berwarna biru (Blue lane) khas untuk penunggang basikal.

“Bagaimanapun, ada juga jalan yang tidak mempunyai blue lane, tetapi secara logiknya penunggang basikal mesti berada di bahu kiri jalan.

“Jadi, tindakan pasangan tersebut tidak wajar walaupun mereka yang saya percaya dari Jambatan Seri Wawasan hendak ke Lebuh Sentosa yang berada di sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Menurutnya, praktis yang paling selamat yang boleh digunakan oleh penunggang basikal sekiranya berada di dalam situasi pasangan berkenaan, mereka sepatutnya berada di bahu kiri jalan dan menggunakan garisan zebra untuk menyeberang.

“Mungkin mereka terbawa-bawa dengan gaya pemanduan kenderaan bermotor sehingga bertindak sebegitu,” tambahnya.

Saiful turut menasihati kepada penunggang basikal yang baru hendak berjinak-jinak dengan aktiviti berkenaan untuk mempelajari etika-etika asas seperti isyarat tangan bagi menjamin keselamatan ketika menunggang yang kebiasaannya dikongsikan di kumpulan-kumpulan Facebook atau WhatsApp.

“Walaupun etika asas seperti isyarat tangan ini tiada sebarang peraturan bertulis. Namun, ini adalah amalan-amalan penunggang basikal yang berpengalaman dan ia boleh difahami oleh pengguna jalan raya yang lain.

“Ini kerana, sebagai penunggang basikal kita perlu tunjukkan keberadaan kita di jalan raya kerana kenderaan bermotor ada ‘blind-spot’ mereka,” ujarnya.

Terdahulu, pengguna twitter @chicanoz berkongsi satu video berdurasi satu minit yang memaparkan satu pasangan yang menunggang basikal di tengah-tengah jalan raya sehingga ke lampu isyarat simpang empat untuk memasuki simpang kanan.

Video berkenaan mendapat reaksi marah daripada netizen dan telah mencapai sebanyak 2.6 ribu ulang kicau setakat ini. –SB