Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
RMK-12: Ekosistem sokong ekonomi gig diwujudkan, jurang digital dikurangkan -

RMK-12: Ekosistem sokong ekonomi gig diwujudkan, jurang digital dikurangkan

KERAJAAN akan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ekonomi gig adalah sumber penting pertumbuhan ekonomi yang telah membuka peluang lebih besar kepada rakyat untuk menambah pendapatan, termasuk menawarkan perkhidmatan menggunakan platform digital seperti e-hailing dan p-hailing.

“Selain itu, usaha akan dipergiat untuk mengakreditasi platform tempatan berdasarkan piawaian industri ekonomi perkongsian antarabangsa bagi meningkatkan daya saing pada peringkat global.

“Satu rangka kawal selia sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna adalah dilindungi. Kerajaan juga akan memastikan pampasan akibat pengangguran, perlindungan kesihatan dan simpanan untuk persaraan diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan merapatkan jurang digital, terutama di antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital.

Dalam hubungan itu, katanya, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu.

“Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terbabit dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat,” katanya. – SB