Sultan Johor titah semak semula syarat ketat MM2H

SYARAT ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini perlu dikaji semula supaya ia dapat memberikan imbangan dan pertumbuhan ekonomi positif.

Sultan Johor ketika bertitah mengenai perkara tersebut turut menyarankan agar syarat-syarat lama MM2H juga dikekalkan diberikan penambahbaikan dengan segera.

Baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membangkitkan isu berkenaan ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru di Johor pada Sabtu, 25 September.

Baginda bertitah, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.

“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah Sultan Johor seperti yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi baginda.

Pertemuan berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Baginda turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.

Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 21 Ogos lalu. – SB