Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ibnor Riza 'jual meja' kumpul dana untuk rawatan kemoterapi kanser limfoma -

Ibnor Riza ‘jual meja’ kumpul dana untuk rawatan kemoterapi kanser limfoma

“SEPATUTNYA saya dijadualkan buat dua sesi kemoterapi di pusat perubatan swasta minggu lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana wang tak cukup.”

Itu luahan penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62, yang menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ibnor berkata, dia memerlukan dana sebanyak RM30,000 untuk menampung kos dua sesi kemoterapi yang dijadual di pusat perubatan di Petaling Jaya itu.

“Saya sudah jalani kemoterapi sebanyak enam kali di hospital kerajaan sebelum ini tetapi sel kanser masih ada lagi.

“Selepas mendapat nasihat doktor pakar, saya merancang untuk buat dua lagi sesi kemoterapi tetapi di pusat perubatan swasta di Petaling Jaya,” katanya lapor Harian Metro.

Ditanya mengenai dana itu, Ibnor berkata, dia bersyukur kerana beberapa rakan artis mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Malam Untukmu Ibnor untuk mengumpul dana menampung kos perubatannya itu.

Antara yang terbabit ialah Datuk Siti Fairuz, Jay Jay, Nizam Laksamana dan Sophia Ibrahim.

Menurutnya, program amal itu akan berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang pada 30 Ogos ini.

“Saya merayu supaya orang ramai dan rakan artis untuk tampil membeli meja yang dijual untuk malam amal itu nanti.

“Saya sendiri berusaha untuk menjual meja untuk program amal ini kepada rakan artis. Setakat ini, baru beberapa meja saja dapat dijual,” katanya dengan nada sebak.

Pada masa sama, Ibnor berkata, dia sudah sembilan bulan tidak bekerja dan tiada pendapatan sejak menghidap kanser limfoma itu.

“Ada juga pihak yang menghulurkan sumbangan wang ringgit tetapi wang itu digunakan untuk menampung kehidupan seharian kerana saya sudah tidak mampu menyanyi seperti dulu,” katanya.