Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua, paling perlahan sejak 2021 -

Ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua, paling perlahan sejak 2021

EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 2.9% pada suku kedua tahun ini, terendah dalam tempoh hampir dua tahun, menurut perangkaan kerajaan terkini. 

Prestasi lemah itu dikaitkan dengan eksport yang lebih rendah dan kelembapan ekonomi global.

Pertumbuhan itu adalah yang paling perlahan sejak suku ketiga 2021 apabila ekonomi menguncup 4.2% sewaktu kemuncak krisis Covid-19.

Ia juga berada di belakang ramalan Reuters mengenai pertumbuhan 3.3% dalam tempoh April hingga Jun. 

Reuters memetik pakar ekonomi hari ini sebagai berkata bahawa sasaran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan 4% hingga 5% sukar dicapai.

Bagaimanapun, Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi kekal berada di landasan betul untuk mencapai sasaran tahun ini, memetik pemulihan pasaran buruh, pelaksanaan projek dan aktiviti pelancongan. 

Beliau juga berkata Rangka Kerja Ekonomi Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan memacu pertumbuhan dengan penyusunan semula ekonomi Malaysia.

Sementara itu, data Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan hari ini juga menunjukkan eksport pada Julai merosot sebanyak 13.1% berbanding tahun sebelumnya, lebih teruk daripada ramalan penurunan 11.3% oleh pakar ekonomi. 

Ahli ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan rakyat negara ini akan bersikap berwaspada dalam berbelanja, yang akan memperlahankan lagi pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, Alex Holmes, pakar ekonomi kanan di Oxford Economics memberitahu Reuters beliau tidak merasakan ramalan pertumbuhan 4% hingga 5% kerajaan dapat dicapai. 

“Permintaan dalam negeri kelihatan bergelut untuk mendapatkan momentum, kerana eksport yang lemah menjejaskan pendapatan perniagaan dan membebankan pelaburan, pengambilan pekerja dan pertumbuhan gaji,” kata Holmes lapor Malaysianow.

Keadaan suram itu muncul apabila prestasi ringgi dilihat terus merosot di rantau ini, walaupun sebelum ini terdapat dakwaan pertukaran kerajaan akhir tahun lepas akan meningkatkan nilainya berikutan keyakinan pelabur asing. 

Ringgit menjunam lebih 5% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini.