[VIDEO] Sajat ditahan di Thailand, rundingan bawa pulang berjalan

SELEPAS berbulan menjadi buruan pihak berkuasa, usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Menurut laporan Harian Metro, penahanan Nur Sajat dilakukan pihak berkuasa Thailand selepas mendapat maklumat mengenai kedudukan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan usahawan kosmetik itu telah berjaya menyusup masuk ke Thailand dengan taktik memakai purdah dan niqab.

Dengan mengenakan pakaian sedemikian selain dibantu seorang lelaki, Nur Sajat melarikan diri dari rumahnya di Petaling Jaya, ke kawasan sempadan sebelum lolos ke Thailand.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak sebelum ini dilaporkan berkata, Nur Sajat yang kini dalam buruan polis adalah saksi penting satu perbicaraan berkaitan kes penipuan pertukaran nama dan jantina dalam kad pengenalan.

Katanya, Nur Sajat adalah seorang mangsa dan juga saksi dalam perbicaraan pada 14 Julai lalu.

Sementara itu sumber Harian Metro memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.

“Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” katanya memaklumkan Nur Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.