JUALAN bersih pelabur asing ke atas saham-saham Bursa Malaysia mencecah RM4.19 bilion dalam enam bulan pertama 2023, sekali gus menghilangkan sebahagian besar daripada belian bersih keseluruhan bernilai RM4.4 bilion sepanjang 2022.
Penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann, berkata Jun menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM1.35 bilion daripada pasaran saham tempatan apabila penjualan asing berlaku buat bulan ke-10 berturut-turut.
“Penjualan pada bulan Jun berlaku hampir setiap hari, iaitu 19 daripada 20 hari dagangan. Pegangan asing dalam pasaran jatuh di bawah 20 peratus kepada 19.9 peratus setakat 30 Jun lalu, angka terendah sejak krisis kewangan global,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, beliau berkata pelabur institusi tempatan membeli sebanyak RM1.03 bilion saham-saham tempatan bulan lalu, menjadikan jumlah belian bersih mereka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kepada RM3.73 bilion.
Pelabur runcit pula, katanya membeli bersih RM310 juta, menjadikan jumlah pembelian bersih mereka setakat tahun ini adalah sebanyak RM460 juta.
“Penyertaan pelabur asing meningkat 33 peratus bulan lalu, manakala pelabur institusi bertambah 39.9 peratus dan pelabur runcit naik sebanyak 27.2 peratus,” katanya.
Merentasi ASEAN, Chew Hann berkata penjualan bersih terbesar pelabur asing bulan lalu adalah di pasaran saham Indonesia (AS$293 juta), diikuti oleh Malaysia dan Thailand (AS$263 juta), manakala aliran keluar lebih kecil dicatatkan di Vietnam (AS$61 juta) dengan Filipina merekodkan belian bersih AS$97 juta.
“Bagi enam bulan 2023, aliran keluar asing terbesar adalah dari pasaran saham Thailand (AS$3.11 bilion), diikuti oleh Malaysia (AS$930 juta), Filipina (AS$470 juta) dan Vietnam (AS$10 juta), manakala Indonesia merekodkan belian bersih sebanyak AS$1.09 bilion.
Berdasarkan data dikeluarkan Dibots, lima saham paling banyak dijual (dari segi nilai) oleh pelabur asing bulan lalu ialah Petronas Chemicals, CIMB, Tenaga dan Hong Leong Bank, manakala pembelian terbesar ialah Maybank, Gamuda, YTL Corp, Westports dan Malaysia Airports.
Setakat tahun ini pula, penjualan terbesar saham dalam kalangan pelabur asing ialah Public Bank, CIMB, Petronas Chemicals, Tenaga dan RHB Bank, manakala pembelian terbesar ialah Gamuda, Malaysia Airports, CelcomDigi, YTL dan Velesto.
Chew Hann berkata, meskipun ringgit jatuh mendadak, permintaan asing bagi bon tempatan meningkat pada Mei sebanyak RM3 bilion, sekali gus aliran masuk bersih bulan kelima berturut-turut.
“Jumlah pegangan asing meningkat kepada RM262.7 bilion, menghampiri rekod tertinggi RM263.2 bilion yang dicatatkan pada Februari 2022. Aliran masuk terkumpul setakat lima bulan pertama tahun ini bagi bon ringgit berjumlah RM15.9 bilion,” katanya lapor BH.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.