SEORANG penuntut lelaki sebuah institut pendidikan tinggi (IPT) ditahan pihak polis kelmarin, berhubung kes samun kedai alat komunikasi di Kompleks Menara Condong Teluk Intan awal April lalu.
Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan di kompleks berkenaan ditetak dengan kapak, diikat serta dikurung di dalam tandas.
Suspek kemudiannya memecah masuk sebuah kedai alat komunikasi dan melarikan sejumlah 70 unit telefon berjenama iPhone bernilai RM300,000 pada kejadian 3 April lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek yang berusia 21 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Cawangan D8 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah kondominium Jalan Perda Barat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, jam 12.05 tengahari kelmarin.
“Hasil serbuan, pihak polis menahan suspek dan merampas 23 unit telefon bimbit jenama iPhone, satu masing-masing jam tangan Apple Watch dan iPad, pen tablet jenama Samsung (dua), wang tunai RM853 dan sebuah kereta Proton Wira.
“Suspek juga dikesan mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya ketika sidang media di IPD Hilir Perak, di Teluk Inta, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, semasa soal siasatan awal dilakukan, suspek yang masih bujang, tidak bekerja dan masih menuntut di sebuah IPT di Pulau Pinang mengaku terbabit dalam kes ini dan melakukannya secara bersendirian.
“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga lusa untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun serta sebatan,” katanya, lapor BH Online.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.