Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rundingan akhir agihan kerusi PN 5 Jun ini -
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Rundingan akhir agihan kerusi PN 5 Jun ini

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan rundingan akhir agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 5 Jun ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan itu akan meneliti jumlah kerusi yang diwakili sama ada daripada PAS, BERSATU atau GERAKAN sebelum ia diserahkan kepada Majlis Presiden untuk dimuktamadkan.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Majlis Presiden akan menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang ada termasuk pertindihan kerusi.

“Sebelum ini, mesyuarat penuh tak jadi kerana ada kekangan tertentu (dan) tarikh baharu mesyuarat ialah pada 5 Jun, Insya-Allah.

“Kami jawatankuasa perunding akan berbincang untuk peringkat akhir (agihan kerusi) sebelum ia dibawa ke Majlis Presiden.

“Majlis Presiden kalau sekiranya ada apa-apa isu yang tidak dapat diselesaikan dan untuk pengesahan yang terakhir (senarai kerusi) Majlis Presiden akan buat pertimbangan,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dana Sumbangan Pendidikan Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di sini hari ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah PN.