Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra -

Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia Jumaat lepas dari Everest Base Camp ke Kathmandu menggunakan helikopter akan dijalankan hari ini, sekiranya operasi dari Camp 4 itu berjalan lancar mengikut jadual.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Usaha SAR udara dijalankan sejak 20 Mei, namun masih tidak berjaya mengesan pendaki berkenaan. Proses mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan darat di kawasan lurah-lurah ais, sejak 21 Mei,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

— BERNAMA