PRN: Calon PN guna logo Pas di Kelantan, Terengganu – Takiyuddin

CALON Perikatan Nasional (PN) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di Kelantan dan Terengganu akan mengunakan logo parti Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi empat buah lagi negeri, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, calon terbabit akan mengunakan logo PN.

“Setakat ini pembahagian kerusi antara parti gabungan PN telah 95 peratus selesai.

“(Penggunaan) logo pada PRN masih kekal. Di Kelantan, Terengganu kekal guna logo Pas, empat negeri lain, (calon) PN, guna logo PN.

“Boleh dikatakan 95 peratus sudah selesai, pembahagian kerusi parti komponen, terpulang kepada parti untuk tentukan calon-calonnya yang boleh menang.

“Nama calon yang bakal bertanding pula akan dicadangkan oleh pimpinan negeri Bersatu dan juga Pas sebelum jawatankuasa di peringkat Pusat membuat keputusan,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Jelasnya, hanya pengagihan beberapa kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan belum dapat dimuktamadkan lagi.

“Formula pembahagian kerusi antara Pas dan Bersatu katanya turut menggunakan formula sama yang digunakan pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya.

Takiyuddin berkata, pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjalan lancar dan mencapai kata sepakat yang baik.

Katanya, pembubaran DUN di enam buah negeri terbabit dijangka dibuat penghujung bulan ini.

Beliau berkata, PN optimis untuk menguasai lebih banyak kerusi DUN pada PRN kali ini berdasarkan penerimaan rakyat ketika ini.