Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ular sawa 10kg berlingkar dalam mangkuk tandas -

Ular sawa 10kg berlingkar dalam mangkuk tandas

SEORANG lelaki terkejut akan kemunculan seekor ular sawa seberat 10 kilogram (kg) di dalam mangkuk tandas rumahnya di Kampung Wakaf di Pasir Puteh, pada Ahad.

Kehadiran reptilia sepanjang dua meter itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan selepas dikejutkan dengan bunyi seolah-olah serpihan kayu yang jatuh dari atap pada jam 1.05 tengah hari.

Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.05 petang.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan, lima anggota termasuk seorang pegawai telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menangkap ular sawa berkenaan.

“Setiba di lokasi, kami dapati ular tersebut sedang berlingkar di dalam tandas,” katanya pada Ahad, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, reptilia tersebut berjaya ditangkap oleh anggotanya menggunakan penjerut, pengepit dan pengait.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, setakat Januari hingga Ahad, sebanyak 60 ekor ular sawa telah berjaya ditangkap.

Nik Mohd Nor memberitahu, cuaca panas menyebabkan haiwan tersebut keluar dari tempat biasa untuk mencari kawasan yang lembap dan sejuk.