Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Nancy sokong pelancong ke Langkawi jalani ujian Covid-19 -

Nancy sokong pelancong ke Langkawi jalani ujian Covid-19

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 terhadap individu yang melancong ke Langkawi, mulai hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menyokong perkara itu kerana yakin langkah tersebut dibuat dengan niat yang baik dan akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak.

“Sebelum ini memang saya sebut tak perlu buat ujian saringan Covid-19 jika hendak datang melancong ke Langkawi kerana telah ditetapkan kriteria utama untuk mereka yang hendak datang ke sini, perlu lengkap menerima dua dos vaksin.

“Lagi pun Langkawi sudah mencapai imuniti kelompok apabila 89.3 peratus penduduknya sudah divaksin setakat 9 September lalu. Namun keputusan dibuat KKM ini merupakan satu langkah yang baik dan kita turut menyambutnya dengan baik dan menyokongnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Pelancongan Sempena Pembukaan Semula Langkawi Sebagai Destinasi Rintis Pelancongan Domestik di Pusat Konvensyen Antarabangsan Langkawi (LICC), yang disempurnakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, malam tadi.

Nancy menambah, segala urusan berkaitan pelaksanaan ujian itu akan dilaksanakan oleh KKM.

“Tidak dinafikan pengumuman semalam mungkin agak mengelirukan. Malah ada yang tanya mengapa hari ini hendak buka Langkawi, semalam baru umum?

“Memang pengumuman itu agak lewat namun kita berpendirian biar lambat, asalkan semuanya selamat,” katanya. – SB