Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki kejar ibu mentua, langgar polis hingga parah, direman 4 hari -

Lelaki kejar ibu mentua, langgar polis hingga parah, direman 4 hari

LELAKI berusia 51 tahun yang mengejar ibu mertua dan melanggar seorang anggota polis wanita hingga parah dalam kejadian di Chukai, Kemaman semalam direman selama 4 hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, lapor Harian Metro.

Terdahulu, buruh terbabit dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Kemaman, kira-kira 9.10 pagi tadi.

Media semalam melaporkan, seorang anggota polis wanita parah di bahu selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di IPD Kemaman.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian pada 11.30 pagi itu, pemandu terbabit bertengkar dengan ibu mentuanya, dipercayai disebabkan isu perebutan harta di sebuah rumah di Jalan Dato.

Beliau berkata, dalam pertengkaran itu, suspek mengeluarkan sebatang kayu dan bertindak mengetuk bonet hadapan serta bumbung kereta ibu mentuanya sehingga kemek.

“Ibu mentuanya yang ketakutan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Balai Polis Chukai untuk mendapatkan pertolongan.

“Dalam perjalanan, suspek mengekori ibu mentuanya dan cuba memotong dengan cara berbahaya sehingga merempuh motosikal (ditunggang) anggota polis wanita yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Hanyan berkata, anggota polis berpangkat sarjan berusia 36 tahun itu dikejarkan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan pada 2.15 petang tadi di tepi jalan di kawasan Ibok, kira-kira 18km dari tempat kejadian.

“Suspek gagal melarikan diri lebih jauh kerana kereta dinaikinya rosak dan tersadai di tepi jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.